Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Perdana Menteri
MUSCAT, KESULTANAN OMAN, Selasa, 29 April. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof telah mengadakan Lawatan Kerja ke Kesultanan Oman selama tiga hari pada 28 hingga 30 April 2025 dan seterusnya menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Negara Brunei Darussalam dan Kesultanan Oman dalam bidang media.
Penandatanganan MoU berkenaan itu adalah merupakan salah satu acara sempena ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik antara Negara Brunei Darussalam dan Kesultanan Oman pada tahun 2024, serta sebagai hala tuju ke arah meningkatkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara yang sedia ada.
Majlis Penandatanganan MoU telah berlangsung di Kementerian Penerangan Kesultanan Oman di Muscat. Ini adalah kali ketiga MoU tersebut diperbaharui dan melaluinya, kedua-dua belah pihak akan menggalakkan kerjasama dalam pelbagai bidang media termasuk pertukaran bahan radio, televisyen serta berita dan program-program yang berkepentingan bersama; kepakaran; serta pembinaan kapasiti.
Sebelum majlis penandatanganan tersebut, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II telah mengadakan kunjungan muhibah kepada Menteri Penerangan Kesultanan Oman, Tuan Yang Terutama Dr. Abdullah bin Nasser bin Khalifa Al Harrasi.
Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II dan Tuan Yang Terutama Dr. Abdullah bin Nasser kemudiannya bersama-sama beredar ke bilik mesyuarat bagi Majlis Penandatanganan, dan ini diikuti dengan lawatan ke beberapa studio di Oman TV.
Lawatan Kerja Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II ini juga akan memuatkan kunjungan ke Muscat Book Fair serta lawatan ke beberapa tempat-tempat menarik di Oman iaitu Royal Opera House, National Museum of Oman, dan Sultan Qaboos Grand Mosque.
Menyertai Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II sepanjang Lawatan Kerja ke Oman ialah Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Awang Ajman bin Haji Meludin.